Wednesday 22 January 2014

KAJIAN TINDAKAN : PETA MINDA BERGAMBAR

PENGGUNAAN KAEDAH PETA MINDA BERGAMBAR DALAM MENINGKATKAN PENGUASAAN MURID BAGI TOPIK  “PERUBAHAN KEADAAN JIRIM”
Hasamuddin bin Samat
Asmah binti Samin

Abstrak

Kajian menggunakan kaedah peta minda bergambar untuk meningkatkan penguasaan murid dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”.  Peta minda bergambar adalah hasil gabungan peta minda dan gambar-gambar berkaitan proses-proses yang terlibat dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”. Kajian dilakukan ke atas 10 orang responden Tahun 5 berpencapaian rendah dalam ujian pertengahan tahun.  Pengumpulan data kajian iaitu dari markah ujian pra dan pasca, temubual, hasil kerja responden serta rekod anekdot. Dapatan kajian menunjukkan kaedah peta minda bergambar membantu responden menguasai topik “Perubahan Keadaan Jirim” berdasarkan peningkatan melebihi 30% pada markah ujian akhir yang melonjakkan mereka pada tahap cemerlang. Hasil kerja responden juga menunjukkan peningkatan penguasaan dan kreativiti mereka dalam membina peta minda bergambar. Responden turut bersetuju bahawa kaedah ini membantu mereka menguasai topik ini berdasarkan temubual yang dilakukan.

1.0 REFLEKSI P&P

Setelah selesai sesi pengajaran dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”, pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan murid masih belum dapat menguasai topik ini. Murid kelihatan teragak-agak untuk menjawab soalan yang kemukakan kepada mereka. Penguasaan mereka dalam pembelajaran sangat mendukacitaka. Setelah meneliti masalah ini, pengkaji mendapati bahawa teknik pengajaran perbincangan kumpulan yang digunakan tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran murid dalam kelas tersebut. Ia menyebabkan murid tidak faham, mudah lupa dan tidak berminat untuk mengikuti sesi pengajaran. Akibatnya, murid tidak dapat menguasai topik ini sepenuhnya.

2.0 FOKUS KAJIAN

Pengkaji mendapati bahawa murid sukar untuk memahami dan mengingati fakta serta proses-proses yang terlibat dalam perubahan keadaan jirim seperti pembekuan, pendidihan, peleburan, kondensasi dan penyejatan. Walaupun telah diterang berulang kali, murid masih belum dapat memahaminya. Kebolehan murid memahami isi pengajaran merupakan elemen yang ingin ditingkatkan supaya hasil pembelajaran dapat dicapai sepenuhnya. Oleh itu, kajian ini memfokuskan kepada pengajaran menggunaan peta minda bergambar dalam meningkatkan penguasaan murid dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim” . Menurut Kandar (2006) menyatakan bahawa peta minda merupakan alat berfikir yang sangat berguna. Manakala menurut Tony Buzan, (2010) yang menyatakan bahawa daya ingatan bertambah baik apabila pelbagai warna dan imej digunakan untuk mencatat nota peta minda.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Mengenalpasti tahap penguasaan murid dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim” menggunakan kaedah peta minda bergambar.
3.2 Mengenalpasti bagaimana penggunaan peta minda bergambar dapat membantu meningkatkan daya ingatan murid dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”.
3.3 Meningkatkan minat murid terhadap pengajaran topik “Perubahan Keadaan Jirim” dengan penggunaan peta minda bergambar .



Soalan kajian
Bagaimanakah penggunaan peta minda bergambar dapat membantu meningkatkan penguasaan murid dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”?

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kajian dijalankan ke atas sepuluh orang murid Tahun 5 Bestari yang mendapat markah terendah dalam ujian pertengahan tahun bagi subjek Sains.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN

5.1 Rekabentuk intervensi 


Peta minda bergambar yang adalah hasil gabungan peta minda yang bertajuk “Perubahan Keadaan Jirim” dengan gambar-gambar sebagai contoh kepada proses berkaitan dan dilukis pada kertas mahjong. Gambar tersebut dilukis sendiri oleh pengkaji dan penyediaan peta minda bergambar dilakukan sebelum memulakan sesi pengajaran. Pengkaji menggunakan warna-warna yang menarik pada gambar serta anak panah yang terdapat dalam peta minda tersebut  

5.2 Penggunaan peta minda bergambar
Langkah 1: Pengkaji mula menggunakan peta minda bergambar pada set pergstrukturan idea untuk menerangkan proses-proses dalam perubahan keadaan jirim.
Langkah 2: Pengkaji menerangkan secara ringkas cara untuk membina peta minda kepada responden.
Langkah 3: Pada set pengstrukturan idea, responden diminta membina peta minda dalam kumpulan.

6.0 DAPATAN

6.1 Markah Ujian Pra dan Pos




Rajah 6.1: Carta bar peratusan peningkatan markah

Secara keseluruhan, peratusan kenaikkan markah ujian responden adalah sebanyak 30% sehingga 40%. Peratus peningkatan markah ujian ini menunjukkan responden telah dapat menguasai isi pengajaran dengan baik. Pengkaji berpendapat bahawa responden telah dapat memahami dan mengingati proses-proses dalam perubahan jirim. Hal ini membolehkan responden menjawab soalan ujian yang diberikan.

6.2 Hasil kerja responden
Dari hasil kerja responden pula menunjukkan bahawa mereka lebih mudah mengingati fakta-fakta yang ditulis dengan ringkas berbanding nota-nota yang panjang. Pengkaji berpendapat bahawa penggunaan warna dan lukisan yang menarik membantu menguatkan daya ingatan responden terhadap apa yang telah dilihat dan dibaca.

6.3 Rekod Anekdot
Menerusi Rekod Anekdot, pengkaji mendapati bahawa penggunaan peta minda bergambar juga menambah minat responden untuk mengikuti pembelajaran.                                                  Kesemua responden teruja dan tertarik dengan gambar dan warna pada peta minda yang digunakan. Pengkaji merasakan minat dan keseronokkan boleh melahirkan motivasi berterusan untuk belajar.

6.4 Temubual
Hasil dari temubual yang dijalankan juga menunjukkan bahawa kesemua responden bersetuju bahawa kaedah pengguanaan peta minda bergambar ini membantu mereka memahami proses-proses dalam topik “Perubahan Keadaan Jirim”. Mereka juga berpendapat bahawa kaedah pengajaran menggunakan peta minda bergambar ini menyeronokkan.

7.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Kajian ini boleh dicuba pada murid-murid cemerlang bagi membantu mengembangkan daya pemikiran mereka. Kajian ini juga boleh dipertingkatkan dengan memberi peluang secara individu kepada murid untuk membina peta minda bergambar mereka. Selain itu, peta minda ini boleh dicuba pada murid dibawah usia 11 tahun bagi menilai keberkesanannya. Sebagai contoh pada murid berusia 9 tahun. Ini adalah kerana kanak-kanak lebih berminat pada warna dan lukisan.

RUJUKAN

Peta Minda Tony Buzan (2010)-Akhbar online dilayari pada 1 September 2012
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0322&pub=Kosmo&sec= RencanaUtama&pg=ru_01.htm

   Widad Othman dan Kandar Selamat (2006). “Types of Learning” in Module “Teaching Methods in Technical and Vocational Education.” Kuala Lumpur: PD Offset Sdn. Bhd. 

1 comment:

  1. as salam, ada tak soft copy full AR, nak buat rujukan :)
    kalau x kisah lah..ini email sya bebbyfarrah@gmail.com.
    terima kasih^^

    ReplyDelete